Tuesday, July 21, 2009

Beribu Kemaafan


Assalamualaikum...


Sudah lama benar saya tidak update blog. Azam ketika mula-mula register blog baru, untuk update at least 2 hari sekali, nampaknya hanya tinggal azam. Begitulah manusia..


Saya banyak dihubungi oleh pesakit-pesakit baru yang meminta saya mengusahakan rawatan. Sehingga ada pesakit dari Gelang Patah dan Nusajaya yang telefon! Rupanya di Johor ini sangat ketandusan sekali perawat-perawat Islam. Yang ramai adalah bomoh-bomoh dengan pelbagai jenis amalan dan perbuatan yang tidak seronok dipandang. Kerana itulah saya dahulu anjurkan kursus rawatan Islam di sini namun nampaknya Allah tidak mengizinkan ianya diteruskan...


Saya masih struggle dengan sangat teruk untuk menyesuaikan diri dengan jadual harian yang sangat padat setelah mula belajar semula selepas hampir 6 tahun meninggalkan bidang pembelajaran full time ini. Dan apabila belajar dari pukul 8pagi-5petang setiap hari, 5 hari seminggu, maka minda saya keletihan. Jika balik rumah malam-malam, terus sahaja tertidur selepas Isyak kerana kepenatan. Jika ada program atau mesyuarat, terpaksa memaksa diri dengan tahap paksaan tertinggi. Begitulah hebatnya dugaan saya sekarang.


Oleh kerana itu, saya terpaksa menghentikan sementara proses mengusahakan rawatan. Merawat ini tidak semudah apa yang nampak di mata.Nampak mudah tetapi ia memerlukan ketahanan fizikal dan minda yang tinggi, yang mana tidak dapat saya sediakan buat waktu sekarang. Inilah antara alasan utama yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sementara dari bidang ini, di samping beberapa perkara lain yang sudah diberi pertimbangan sewajarnya.. Bukan menjauhkan diri, cuma berundur selangkah untuk susun strategi. Moga-moga Allah izinkan saya untuk terus memacu dengan lebih laju di masa hadapan. Insha Allah...


Oleh itu, saya terpaksa menolak SEMUA permintaan. Bukan tidak kasihankan pesakit yang merayu, tetapi saya terpaksa di dalam keadaan fizikal yang begitu tidak mengizinkan sekarang. Sepanjang 3 minggu ini, saya hanya setuju untuk terima 1 kes sahaja, itu pun kerana bapa pesakit merayu pada saya dan rumah pesakit juga dekat dengan saya. Entah macamana, hati saya tergerak untuk terima....


Tetapi untuk yang lain, sekali lagi saya ingin menyusun jari memohon kemaafan kepada semua. Saya memang tidak mampu dan tidak bersedia untuk proses rawatan buat masa ini. Harap semua dapat memahami..


Saya berharap, peserta-peserta Kursus Rawatan minggu lepas yang katanya 3 orang dari Johor, dapat membantu masyarakat kita yang semakin memerlukan perawat. Jika perlu, boleh berhubung dengan saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. InshaAllah kita sama-sama belajar dan membantu.


Doakan moga saya lulus ujian ini, dan moga saya juga dikurniakan kekuatan olah Allah untuk terus berada di jalan yang diredhaiNya... Ameen


.

Thursday, July 2, 2009

Alhamdulillah Selamat


Alhamdulillah...


Kesyukuran yang tidak terhingga saya panjatkan kepada Allah SWT jua di atas kurniaan Rahmat dan Ihsan Allah yang tidak terhingga kepada saya dan keluarga.


Ayah saya telah dimasukkan ke IJN minggu lepas kerana 3 saluran arterinya tersumbat. "Penyakit Orang Kaya" kata ayah saya sambil tergelak kecil menyembunyikan kerisauan semasa memberitahu saya melalui telefon minggu lepas.


Beliau pada mulanya telah di refer oleh HSNZ Kuala Terengganu untuk menjalani angiogram di IJN. Hasilnya, Pakar mendapati 3 saluran arteri beliau tersumbat dan perlu dibedah (coronary bypass) segera. Apa yang asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada Isnin baru lepas (29 Jun) dicepatkan ke hari Rabu 24Jun.


Saya tidak dapat balik pada hari pembedahan kerana isteri yang tidak dapat cuti. Tetapi memandangkan tempoh pembedahan yang terlalu lama (Masuk OT pukul 11 pagi, pukul 930 malam masih belum keluar), saya gagahkan diri untuk memandu pada malam Rabu itu terus ke KL. Sampai di KL pukul 3 pagi, terus tertidur di rumah Kakak yang ditinggalkan lama di Cheras.


Diringkaskan cerita, Alhamdulillah setelah beberapa hari di ICU IJN akhirnya ayah saya dipindahkan ke wad biasa dan dengarnya hari ini (3 Julai) beliau sudah boleh keluar wad dan akan tinggal di rumah kakak sehingga sembuh. Alhamdulillah, nikmat dari Allah yang tidak terhingga.


Banyak perkara yang terjadi kepada saya sepanjang perjalanan, di Kuala Lumpur dan sehingga balik. Dari anak saya yang nampak 'sesuatu' di hotel di highway, saya sendiri yang nampak banyak 'benda' serta adik saya yang baru diketahui ada saka keturunan keluarga, tetapi masa sangat terhad untuk diceritakan di sini. InshaAllah jika ada kesempatan saya akan ceritakan.


Saya juga sudah mula dengan Professional Course in Safety and Health Officer sejak 1 Julai secara sepenuh masa jadi sudah kurang benar masa dan waktu untuk menjengah blog ini dan blog sahabat.


Doakan saya supaya terus istiqamah di dalam perjuangan dan juga terus dapat menyumbang bakti kepada masyarakat.


Wallahu a'lam


.

Takziah

Assalamualaikum..

Takziah diucapkan kepada Saudara Abd Rahman bin Manap, Setiausaha PAS Kawasan Pasir Gudang, di atas pemergian ayahandanya Ust Abd Manap Ketua Urusan Ulama' PAS Muar yang telah kembali ke Rahmatullah minggu lepas. Walaupun dah lepas lama, saya tetap ingin mengucapkan takziah dan mendoakan agar rohnya diterima sebagai orang beriman dan mendapat tempat istimewa di sisi Yang Maha Mencipta....

Al Fatihah