Showing posts with label Catatan Rawatan. Show all posts
Showing posts with label Catatan Rawatan. Show all posts

Wednesday, September 9, 2009

Nak Perawat Power!



Assalamualaikum..

Salam Ramadhan Kareem.

Saya diserang demam yang tidak kebah sejak 2-3 minggu lepas. Mungkin badan sedang cuba nak menerima keadaan persekitaran kerja yang baru yang sangat mencabar. Oleh itu, saya masih lagi tidak bercadang untuk memulakan semula proses rawatan kepada pesakit-pesakit baru. Pesakit lama pun sudah saya channel kan kepada perawat terdekat. Namun saya masih lagi dihujani panggilan-panggilan yang meminta saya usahakan rawatan. TErdetik juga rasa kasihan yang amat di dalam diri namun apakan daya, saya memang betul2 tidak bersedia waktu ini...

Saya ingin berkongsi satu kisah yang agak "lucu" apabila dikenang kembali. Kisahnya berkenaan satu panggilan telefon yang saya terima lebih kurang 2 minggu lepas. Ketika itu saya baru selesai mengerjakan solat Tarawikh di rumah (dek keuzuran demam, banyak kali tahun ini terpaksa saya tunaikan Solat Tarawikh di rumah sahaja), saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon, nun jauh dari Utara Johor..

Diringkaskan cerita, pesakit ingin menghantar isterinya berubat dengan saya kerana isterinya dikatakan terkena sihir. Sudah banyak tempat dibawa ke sana ke mari, masih tidak dikurniakan penyembuhan. Beliau ingin cuba kaedah rawatan AKRINE dengan saya pula katanya.

Saya terpaksa menolak dengan lembut. Seperti biasa, saya akan mencadangkan amalan2 asas yang boleh dilakukan sebagai temporary measure, dan juga mencadangkan beberapa nama perawat di kawasan sekitar tempat tinggal beliau.

Pesakit: "Siapa lagi yang ustaz kenal yang ada di sekitar tempat saya?"

Saya: "Rasanya itu sahajalah. Cubalah jumpa salah seorang dari mereka, InshaAllah kita doa moga-moga Allah kurniakan penyembuhan.."

Pesakit: "Tapi ustaz, saya macam dah putus asa dah. Dah banyak tempat yang saya pergi, tapi tak sembuh-sembuh jugak. Ustaz tak kenal ke mana-mana perawat yang power sket? Kasi hilang terus penyakit isteri saya ni?"

Saya tersentak sejenak dengan persoalan beliau. Namun saya tetap memberikan cadangan:

Saya: "Ada. Saya kenal perawat yang paling power. Setakatni takde siapa lagi yang boleh challenge"

Pesakit: "Hah, eloklah tu ustaz. Bagi lah nombor dia kat saya. Nanti saya buat appointment. Biasa dia buat rawatan hari apa? Pagi ke malam?"

Saya: " Tak perlu buat appointment. Anytime awak nak jumpa dia pun boleh. Rawatan dia takde time. Anytime.."

Pesakit: "Isk, dia buat full time ke ustaz? Siapa dia? Boleh saya tahu dan mintak nombor telefon?"

Saya: " Kalau anda nak jumpa dia, anytime. Waktu yang terbaik adalah di tengah malam ketika semua orang tengah tidur."

Pesakit: "Biar betul Ustaz?" Nampaknya belum memahami apa maksud saya...

Saya: " Anda 'jumpa'lah Allah. Mengadu padanya. Sesungguhnya Allah lah perawat dan penyembuh yang Maha Perkasa dan Maha Menyembuh"

Pesakit: " Alah ustaz ni main-mainlah"


TIDAK. Saya tidak main-main. Memang ALLAH adalah sumber penyembuhan dan perawatan. Tiada siapa pun perawat di alam semesta ini yang boleh merawat sekiranya Allah tidak benarkan. Sehebat manapun ilmu dan sedalaman mana pun amalan seseorang perawat, mana mungkin dia mampu merawat jika tiada keizinan Allah...

Allah SWT berfirman:

(yaitu Tuhan) Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjuki aku, dan Tuhanku, Yang Dia memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku,dan Yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali),dan Yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali),dan Yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari kiamat". (As-Syu'araa:78-82)

Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur'an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang lalim selain kerugian. (Al- Israa':82)


Nah, jika kita yakin dan tahu perkara ini, kenapa seharusnya kita gantungkan penyembuhan kepada tahap "power" atau tak power perawat? Perawat adalah hamba, sama seperti pesakit. Sebagaimana lemahnya pesakit, begitu juga sebenarnya lemahnya seorang perawat. Kekuatan perawat terletak kepada kehebatan yang ALLAH turunkan. Jika Allah izinkan, bolehlah diusahakan rawatan. Jika tidak, sesiapa sahaja tidak mungkin mampu!

Mungkin apa yang membezakan di antara perawat adalah tahap ketinggian ilmu, pengalaman dan yang paling penting adalah keakraban perhubungan dengan Allah. Merawat dengan ulama' besar mungkin tidak sama dengan merawat dengan saya kerana perbezaan besar di dalam tahap perhubungan dan ibadah serta ilmu dengan Allah SWT. Namun hakikatnya walau sehebat manapun seseorang, segalanya kembali kepada satu: Keizinan dari Allah!

Cuma mungkin secara logiknya, semakin rapat hubungan kita dengan Allah, semakin banyak ibadah kita dengan Allah dan semakin hina perhambaan kita kepadaNya, darjat kita semakin tinggi dan kita akan lebih dicintai Allah. Oleh itu apa yang diminta mungkin akan mudah ditunaikan. Namun jika ingin berjumpa perawat "power" dengan niat bahawa perawat ini yang mampu menghilangkan segala penyakit yang melanda, adalah amat bahaya kepada kesihatan akidah!

Berapa ramai di antara kita yang mengiakan apa yang saya cakap ini tetapi berapa ramai lagi yang masih ada karat-karat iktikad pergantungan kepada makhluk lebih daripada pergantungan kepada Allah? Sama-sama kita cuba buang dan cuba hakis, moga-moga Allah lebih mengasihi kita...


Selamat Mencari Al Qadr. Doakan penyembuhan dikurniakan kepada sang pendosa ini....

Tuesday, July 21, 2009

Beribu Kemaafan


Assalamualaikum...


Sudah lama benar saya tidak update blog. Azam ketika mula-mula register blog baru, untuk update at least 2 hari sekali, nampaknya hanya tinggal azam. Begitulah manusia..


Saya banyak dihubungi oleh pesakit-pesakit baru yang meminta saya mengusahakan rawatan. Sehingga ada pesakit dari Gelang Patah dan Nusajaya yang telefon! Rupanya di Johor ini sangat ketandusan sekali perawat-perawat Islam. Yang ramai adalah bomoh-bomoh dengan pelbagai jenis amalan dan perbuatan yang tidak seronok dipandang. Kerana itulah saya dahulu anjurkan kursus rawatan Islam di sini namun nampaknya Allah tidak mengizinkan ianya diteruskan...


Saya masih struggle dengan sangat teruk untuk menyesuaikan diri dengan jadual harian yang sangat padat setelah mula belajar semula selepas hampir 6 tahun meninggalkan bidang pembelajaran full time ini. Dan apabila belajar dari pukul 8pagi-5petang setiap hari, 5 hari seminggu, maka minda saya keletihan. Jika balik rumah malam-malam, terus sahaja tertidur selepas Isyak kerana kepenatan. Jika ada program atau mesyuarat, terpaksa memaksa diri dengan tahap paksaan tertinggi. Begitulah hebatnya dugaan saya sekarang.


Oleh kerana itu, saya terpaksa menghentikan sementara proses mengusahakan rawatan. Merawat ini tidak semudah apa yang nampak di mata.Nampak mudah tetapi ia memerlukan ketahanan fizikal dan minda yang tinggi, yang mana tidak dapat saya sediakan buat waktu sekarang. Inilah antara alasan utama yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sementara dari bidang ini, di samping beberapa perkara lain yang sudah diberi pertimbangan sewajarnya.. Bukan menjauhkan diri, cuma berundur selangkah untuk susun strategi. Moga-moga Allah izinkan saya untuk terus memacu dengan lebih laju di masa hadapan. Insha Allah...


Oleh itu, saya terpaksa menolak SEMUA permintaan. Bukan tidak kasihankan pesakit yang merayu, tetapi saya terpaksa di dalam keadaan fizikal yang begitu tidak mengizinkan sekarang. Sepanjang 3 minggu ini, saya hanya setuju untuk terima 1 kes sahaja, itu pun kerana bapa pesakit merayu pada saya dan rumah pesakit juga dekat dengan saya. Entah macamana, hati saya tergerak untuk terima....


Tetapi untuk yang lain, sekali lagi saya ingin menyusun jari memohon kemaafan kepada semua. Saya memang tidak mampu dan tidak bersedia untuk proses rawatan buat masa ini. Harap semua dapat memahami..


Saya berharap, peserta-peserta Kursus Rawatan minggu lepas yang katanya 3 orang dari Johor, dapat membantu masyarakat kita yang semakin memerlukan perawat. Jika perlu, boleh berhubung dengan saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. InshaAllah kita sama-sama belajar dan membantu.


Doakan moga saya lulus ujian ini, dan moga saya juga dikurniakan kekuatan olah Allah untuk terus berada di jalan yang diredhaiNya... Ameen


.

Tuesday, June 23, 2009

Dihentikan Sementara

Assalamualaikum...


Setelah melalui proses berfikir yang agak panjang dan consider segala faktor yang mendatang di dalam hidup saya, maka saya telah memutuskan untuk menghentikan sementara proses mengusahakan rawatan Islam (saya lebih cenderung untuk menggunakan istilah ini berbanding istilah merawat. Apa pun konsepnya sama, term saja yang berbeza) kepada semua berkuatkuasa minggu depan (1 Julai 2009)


Saya sudah pun mengelak untuk mengambil kes-kes baru sejak minggu lepas. Dan kes baru terakhir yang sepatutnya diattend oleh saya hujung minggu ini juga terpaksa ditunda kerana keadaan kesihatan ayahanda saya yang tidak begitu memuaskan. Seminggu dua ni mungkin saya akan berulang alik ke IJN/KL untuk melawat ayahanda.


Saya ingin memohon maaf kepada semua kerana terpaksa menolak permintaan anda untuk mengusahakan rawatan. Juga mohon maaf kepada sahabat-sahabat berdekatan yang mungkin terpaksa menerima 'tempias' apabila saya refer kes-kes baru kepada anda secara anda tahu atau tidak (Biasanya yang menjadi "mangsa" adalah Ust Wan Asrul Melaka, Ust Faizal Segamat dan Ust Rashid Suhar Singapore serta Ust Hussin Darussyifa' Johor ).


Doakan saya moga dipermudahkan dan dapat saya kembali berkhidmat kepada masyarakat menggunakan secubit ilmu yang tidak seberapa ini secepat mungkin.


Wallahu a'lam

Wednesday, May 6, 2009

Merawat Pesakit Parkinson

Selepas mengusahakan rawatan kepada Puan F tempohari, saya bergegas ke Kg Melayu Majidee untuk berjumpa seorang lagi pesakit.

Pesakit seorang wanita berusia 78 tahun dan tinggal berdua dengan suaminya di sebuah rumah yang agak besar di sana. Beliau menderita sakit parkinson sejak 10 tahun lepas. Suaminya menelefon saya mengatakan pesakit selalu terjaga di tengah malam dan nampak orang yang ramai mengelilinginya dan juga selalu nampak cucunya datang ke rumah. Selalu sahaja ketika makan, pesakit akan berhenti makan tiba-tiba dan menyorongkan pinggannya ke tepi, "nak bagi Farah (cucunya) makan" katanya sedangkan ketika itu Farah berada beratus-ratus kilometer jauhnya! Saya juga dapat perhatikan pesakit selalu merenung ke sana ke mari seolah-olah melihat ramai orang di sekelilingnya.

Saya mulakan rawatan dengan ruqyah Surah Munjiyat dan juga Selawat Syifa' dan Tafrijiyah. Tiada respon. Setelah meneruskan ruqyah selama hampir 20 minit, saya menghentikan rawatan kerana tiada respon langsung! Tambahan pula badan yang sangat keletihan setelah "bertarung" 3 jam dengan kes Puan F sebelum ini. Pesakit sendiri sudah lemah kerana tidak diberikan ubat seperti yang ditetapkan kerana difahamkan ubatnya adalah jenis mengantuk. Jadi suaminya tidak memberikannya pada pagi itu kerana bimbang pesakit tertidur semasa saya merawat.

Saya bekalkan dengan garam dan limau untuk mandian dan mengajar suami pesakit cara untuk memagar rumah dan apa yang perlu dibuat jika pesakit mengadu lagi (biasanya kepada semua pesakit saya akan minta mereka istiqamah 20 kali Al Fatihah selepas solat fardhu sahaja sebagai permulaan - perkara yang nampak mudah tapi........).

Balik ke rumah mentua, saya masih bingung memikirkan kes pesakit kali ini. Tiada langsung respon walau sedikit terhadap ruqyah! Selepas solat hajat, saya dapat ilham untuk telefon abang saya yang sekarang sedang melanjutkan pelajaran menjadi specialist di HUKM.

Setelah berbincang, barulah saya tahu bahawa pesakit parkinson mengalami kekurangan satu bahan kimia di dalam otak mereka iaitu dopamin. Dan biasanya ubat yang dibekalkan mengandungi kandungan dopamin yang banyak untuk mengimbangkan semula kekurangan tersebut. Dan salah satu side effect dopamin berlebihan di dalam otak adalah pesakit akan mengalami hallucination. MUNGKIN ia menjelaskan kenapa pesakit tadi selalu nampak orang ramai? Wallahu a'lam. Follow up visit sedang dirancang dan InshaAllah akan diupdate di dalam entry ini kelak...

Yang baik dari Allah, yang buruk dari kelemahan diri sendiri. Wallahu a'lam, Allahu akbar!



-Hamba yang Dhoif-

.

Monday, May 4, 2009

Pesakit Sihir Pertama - Menangis Melihat Kehebatan Allah!

Pada 28 Mac yang lalu saya telah menerima kunjungan sepasang suami isteri dari Batu Pahat. Isterinya (Puan F) yang menelefon, mengatakan bahawa beliau mendapat nombor saya dari Guru saya Ust Majid.

Semenjak Ulangan yang tidak berhenti rawatan Ust Majid di dalam Expose Mistik di dalam TV, ramai yang menelefon. Dan kebanyakan kes di Johor semuanya di "sub" kan kepada saya...

Alhamdulillah setelah menetap janji rawatan, saya masih mampu berjumpa dengan pesakit, itu pun setelah rush dari Kota Tinggi pagi tersebut kerana hantar anak balik ke rumah mentua memandangkan isteri saya terpaksa berkursus di Pulau Sibu sehingga Hari Ahad.

Diringkaskan cerita, Puan F ini adalah disyaki menjadi mangsa sihir. OKS nya adalah saudara rapat suaminya sendiri (akan diceritakan selanjutnya nanti). Beliau mengadu selalu rasa sakit di pinggang, dan selalu sahaja rasa takut dan resah, selalu nampak bayangan.

Pernah satu ketika tiba-tiba beliau berjalan merangkak dalam keadaan tidak sedarkan diri, menyebut2 nama ibunya. Beliau juga mengadu sakit perut dan selalu terkucil di merata-rata tempat di rumahnya...

Saya mulakan rawatan seperti biasa. Guna kaedah basic sahaja memandangkan ini kes rawatan sihir saya yang pertama so saya tak dapat nak agak apa yang nak jadi. Mulanya ingat nak gunakan teknik TKR yang baru "diijazahkan" kepada saya seminggu sebelum itu (terima kasih kepada guru saya Ust Abd Majid) tapi saya KIV dahulu kerana ingin lihat dahulu apa respon terhadap ruqyah 'basic'.

Setelah diruqyah selama lebih kurang 15 minit, saya mulakan dialog dengan soal jawab dengan kaki beliau seperti biasa. Tetapi tiba-tiba sahaja Puan F tersengih. Di dalam hati saya agak Jin itu sudah mula bersedia untuk berdialog. Apabila saya merenung tajam kembali, beliau berhenti tersenyum. Apabila ditanya adakah beliau jin, beliau mengangguk...

Maka bermulalah sesi dakwah dan tanzir....

Secara ringkasnya, saya berdialog dengan ketua jin saka dahulu, katanya ada 12 ekor di dalam badan. Ada juga di pinggang dan kepala (yang mungkin menyebabkan Puan F menderita sakit pinggang dan kepala.. Wallahu a'lam). Saya meminta beliau keluar tetapi tidak mahu. Saya tambahkan ruqyah untuk menyakitkan jin, beliau sakit biiznillah tetapi tetap tidak mahu keluar.

Saya teringat kaedah dakwah yang Guru saya ajarkan. datang ilham untuk saya doa pada Allah supaya tunjukkan kepadanya apa balasan dan kehebatan Allah kepada hambaNya yang taat...

Pesakit mula menangis teresak-esak. Sampai basah telekung solat. Setelah beliau tenang, saya meminta beliau menyatakan Syahadah dan Alhamdulillah beliau bersama 4 lagi jin semua memeluk Islam. Saya hantar ke SM.

Melihat masa makin lewat (saya ada janji dengan seorang lagi pesakit pada pagi tersebut) dan secara tak sedar saya dah dakwah-tanzir selama sejam setengah, saya bercadang nak tutup lah. Saya tarik pakai botol di pinggang dan kepala dan bacakan doa penutup..

Lepas baca, tiba2 saya tanya, "Ni Puan F ke?" dia menggeleng. Saya kata dalam hati "Aduh! ada lagi ke, dah lewat sangat ni!". Rupa-rupanya jim kali ni adalah ketua jin sihir yang dihantar! Keras kepala pulak bukan main! Bila disuruh keluar, dilekehkan saya dengan tangannya dilekat ke hidung sehingga hidung menaik (macam budak-budak nak lekehkan orang).. Dibaca ruqyah sebat jin, beliau sakit tapi tetap tak mahu keluar sebab takut dengan tuannya. Saya bacakan ayat menutup pandangan. Lepastu macam-macam lagi songehnya. Nak ayam lah, nak cantikkan muka lah, macam-macam lagi. Alhamdulillah biiznillah Allah kabulkan segala doa dan permintaan jin tersebut. Tapi still taknak keluar jugak!

Last-last saya gunakan kaedah tadi, saya doa pada Allah supaya tunjukkan kepada beliau apa balasan dan siksan Allah kepada mereka yang ingkar perintahNya. Tiba-tiba beliau menjerit "Neraka Jahannam!", terus takut dan kecut. Tapi masih tidak mahu keluar! Degil betul! AKhirnya bila saya doakan agar Allah tunjukkan pula balasan dan nikmat Allah kepada Hamba yang dikasihiNya, beliau mula menangis teresak-esak. Bila didakwahkan, terus mahu memeluk Islam dan mahu dihantar ke Mekah. Siap cakap pada saya "Ustaz jangan lupa ke sana, kita jumpa di sana nanti.." Saya cakap " InshaAllah. Semua orang yang mengaku Islam memang berazam nak ke Mekah. Tapi bab jumpa anda tu, saya rasa tak perlulah. Anda duduklah di sana, pelajari Islam betul2, biar dapat apa yang Allah janjikan tersebut". Akhirnya saya tarik pakai serban Biiznillah dan saya tamatkan rawatan... Sedar tak sedar, hampir 3 jam saya merawat! Penatnya bukan kepalang....

Selepas rawatan, suami Puan F datang jumpa saya dan bertanya "Ustaz, apa agaknya yang dilihat oleh jin tadi?". Saya jawab "Wallahu a'lam. Yang tahu adalah Allah dan jin tersebut sahaja. Apa pun kita sebagai hamba mesti meyakini bahawa janji Allah akan kenikmatan terhadap hambanya yang soleh dan azab bagi hambaNya yang ingkar adalah BENAR dan TIADA KERAGUAN..."

Yang baik dari Allah, yang buruk dari diri sendiri. Saya mohon perlindungan dari Allah akan segala sifat jahat dan saya juga memanjatkan kesyukuran yang tak terhingga kepadaNya kerana banyak membantu saya dalam proses rawatan. Moga Allah terus menerima doa-doa saya selepas ini walaupun dosa saya menggunung tinggi....


-Hamba yang Dhoif-
.