Wednesday, September 9, 2009

Nak Perawat Power!



Assalamualaikum..

Salam Ramadhan Kareem.

Saya diserang demam yang tidak kebah sejak 2-3 minggu lepas. Mungkin badan sedang cuba nak menerima keadaan persekitaran kerja yang baru yang sangat mencabar. Oleh itu, saya masih lagi tidak bercadang untuk memulakan semula proses rawatan kepada pesakit-pesakit baru. Pesakit lama pun sudah saya channel kan kepada perawat terdekat. Namun saya masih lagi dihujani panggilan-panggilan yang meminta saya usahakan rawatan. TErdetik juga rasa kasihan yang amat di dalam diri namun apakan daya, saya memang betul2 tidak bersedia waktu ini...

Saya ingin berkongsi satu kisah yang agak "lucu" apabila dikenang kembali. Kisahnya berkenaan satu panggilan telefon yang saya terima lebih kurang 2 minggu lepas. Ketika itu saya baru selesai mengerjakan solat Tarawikh di rumah (dek keuzuran demam, banyak kali tahun ini terpaksa saya tunaikan Solat Tarawikh di rumah sahaja), saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon, nun jauh dari Utara Johor..

Diringkaskan cerita, pesakit ingin menghantar isterinya berubat dengan saya kerana isterinya dikatakan terkena sihir. Sudah banyak tempat dibawa ke sana ke mari, masih tidak dikurniakan penyembuhan. Beliau ingin cuba kaedah rawatan AKRINE dengan saya pula katanya.

Saya terpaksa menolak dengan lembut. Seperti biasa, saya akan mencadangkan amalan2 asas yang boleh dilakukan sebagai temporary measure, dan juga mencadangkan beberapa nama perawat di kawasan sekitar tempat tinggal beliau.

Pesakit: "Siapa lagi yang ustaz kenal yang ada di sekitar tempat saya?"

Saya: "Rasanya itu sahajalah. Cubalah jumpa salah seorang dari mereka, InshaAllah kita doa moga-moga Allah kurniakan penyembuhan.."

Pesakit: "Tapi ustaz, saya macam dah putus asa dah. Dah banyak tempat yang saya pergi, tapi tak sembuh-sembuh jugak. Ustaz tak kenal ke mana-mana perawat yang power sket? Kasi hilang terus penyakit isteri saya ni?"

Saya tersentak sejenak dengan persoalan beliau. Namun saya tetap memberikan cadangan:

Saya: "Ada. Saya kenal perawat yang paling power. Setakatni takde siapa lagi yang boleh challenge"

Pesakit: "Hah, eloklah tu ustaz. Bagi lah nombor dia kat saya. Nanti saya buat appointment. Biasa dia buat rawatan hari apa? Pagi ke malam?"

Saya: " Tak perlu buat appointment. Anytime awak nak jumpa dia pun boleh. Rawatan dia takde time. Anytime.."

Pesakit: "Isk, dia buat full time ke ustaz? Siapa dia? Boleh saya tahu dan mintak nombor telefon?"

Saya: " Kalau anda nak jumpa dia, anytime. Waktu yang terbaik adalah di tengah malam ketika semua orang tengah tidur."

Pesakit: "Biar betul Ustaz?" Nampaknya belum memahami apa maksud saya...

Saya: " Anda 'jumpa'lah Allah. Mengadu padanya. Sesungguhnya Allah lah perawat dan penyembuh yang Maha Perkasa dan Maha Menyembuh"

Pesakit: " Alah ustaz ni main-mainlah"


TIDAK. Saya tidak main-main. Memang ALLAH adalah sumber penyembuhan dan perawatan. Tiada siapa pun perawat di alam semesta ini yang boleh merawat sekiranya Allah tidak benarkan. Sehebat manapun ilmu dan sedalaman mana pun amalan seseorang perawat, mana mungkin dia mampu merawat jika tiada keizinan Allah...

Allah SWT berfirman:

(yaitu Tuhan) Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjuki aku, dan Tuhanku, Yang Dia memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku,dan Yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali),dan Yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali),dan Yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada hari kiamat". (As-Syu'araa:78-82)

Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur'an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang lalim selain kerugian. (Al- Israa':82)


Nah, jika kita yakin dan tahu perkara ini, kenapa seharusnya kita gantungkan penyembuhan kepada tahap "power" atau tak power perawat? Perawat adalah hamba, sama seperti pesakit. Sebagaimana lemahnya pesakit, begitu juga sebenarnya lemahnya seorang perawat. Kekuatan perawat terletak kepada kehebatan yang ALLAH turunkan. Jika Allah izinkan, bolehlah diusahakan rawatan. Jika tidak, sesiapa sahaja tidak mungkin mampu!

Mungkin apa yang membezakan di antara perawat adalah tahap ketinggian ilmu, pengalaman dan yang paling penting adalah keakraban perhubungan dengan Allah. Merawat dengan ulama' besar mungkin tidak sama dengan merawat dengan saya kerana perbezaan besar di dalam tahap perhubungan dan ibadah serta ilmu dengan Allah SWT. Namun hakikatnya walau sehebat manapun seseorang, segalanya kembali kepada satu: Keizinan dari Allah!

Cuma mungkin secara logiknya, semakin rapat hubungan kita dengan Allah, semakin banyak ibadah kita dengan Allah dan semakin hina perhambaan kita kepadaNya, darjat kita semakin tinggi dan kita akan lebih dicintai Allah. Oleh itu apa yang diminta mungkin akan mudah ditunaikan. Namun jika ingin berjumpa perawat "power" dengan niat bahawa perawat ini yang mampu menghilangkan segala penyakit yang melanda, adalah amat bahaya kepada kesihatan akidah!

Berapa ramai di antara kita yang mengiakan apa yang saya cakap ini tetapi berapa ramai lagi yang masih ada karat-karat iktikad pergantungan kepada makhluk lebih daripada pergantungan kepada Allah? Sama-sama kita cuba buang dan cuba hakis, moga-moga Allah lebih mengasihi kita...


Selamat Mencari Al Qadr. Doakan penyembuhan dikurniakan kepada sang pendosa ini....

No comments: