Tuesday, September 1, 2009

4 ABU Di Dalam Perjuangan


Assalamualaikum...

Saya baru pulang dari Kuala Terengganu melawat ayahanda yang baru sahaja pulang setelah lebih sebulan berada di IJN. Saya sempat berjumpa sahabat lama, Naqib Usrah saya ketika 1st year di Universiti, Akhie Hilmi Radzuan Ab Bulani (Saya tambah ni sebab beliau tinggal di PCB, Kelantan :) ). Sekalung penghargaan kepada beliau kerana sanggup bersusah payah menghantar dan ambil saya di LCCT dari Shah Alam di sebalik kesibukan beliau sebagai tokoh korporat besar.

Sepanjang perjalanan, saya banyak berbicara dan bertukar pendapat dengan beliau darihal isu semasa. Antaranya adalah keadaan terkini di Selangor dan juga kawasan-kawasan lain. Ternyata apa yang diongsikan memberikan impak yang besar pada saya sepanjang perjalanan ke Johor.Setelah sampai di Johor, saya tiba-tiba teringat tentang satu kuliah yang disampaikan oleh Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang berkenaan 4 ABU dalam perjuangan Rasulullah. Jika P Ramlee boleh keluarkan idea 3 Abdul, Tn Guru mengupas sirah dan meletakkan 4 ABU di dalam perjuangan, yang saya rasa sangat elok jika dapat dikongsikan di sini...

1) ABU BAKAR AS-SIDDIQ Radiallahu Anhu

Abu Bakar adalah diletakkan sebagai ABU yang pertama. Selayaknya memang beliau berada di sini. Beliau adalah sahabat Rasulullah SAW yang paling akrab, yang paling banyak berkorban demi perjuangan Rasulullah serta yang paling hebat membenarkan perutusan yang dibawa oleh Rasulullah. Pernah kaum Musyrikin Mekah datang mengadu pada Abu Bakar berkenaan dakwaan Rasulullah dapat pergi ke Baitul Maqdis dan naik ke langit dalam tempoh 1 malam, Abu Bakar tetap teguh berdiri di belakang Rasulullah. Abu bakar juga merupakan seorang yang sangat sayang pada Rasulullah, sanggup bersama di dalam perjuangan Rasulullah samada di ketika senang atau susah.


2) ABU LAHAB Laknatullah

Abu Lahab pula terkenal sebagai seorang yang sentiasa memusuhi perjuangan Rasulullah, tak kira semasa lemah atau semasa kuat. Sekalipun beliau merupakan Bapa Saudara Rasulullah sendiri, namun beliau merupakan musuh dan penentang utama Rasulullah. Kejahatan beliau sehingga Allah menurunkan satu surah khusus untuk mengeji dan mengutuk Abu Lahab (Surah Al-Lahab / Al Masadd)


3) ABU SUFYAN

Merupakan ketua suku kaum Abd-Shams dan antara orang yang paling berpengaruh di Mekah ketika Rasulullah baru dilantik menjadi Nabi. Beliau merupakan antara penentang utama Rasulullah dan merupakan ketua tentera Quraisy di dalam Perang Badar dan Uhud. Namun, ditakdirkan selepas Perjanjian Hudaibiyah (Orang Islam mula kuat dan Orang Quraisy terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan orang Islam), maka hati Abu Sufyan mula berubah untuk memeluk Islam.

Setelah memeluk Islam, beliau berjuang bersungguh-sungguh di dalam mempertahankan Islam dan hilang kedua belah matanya di dalam peperangan (Sebelah mata di Peperangan Taif, sebelah di Peperangan Yarmouk) dan akhirnya beliau meninggal dunia di dalam Islam..


4) ABU ABDULLAH (ABDULLAH BIN UBAY BIN SALUL)


Merupakan ketua Kaum Khazraj di Madinah yang telah memeluk Islam apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Namun terdapat banyak perkara yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubay yang menunjukkan ciri-ciri Munafiq di dalam diri beliau, sehingga beliau pernah digelar "Lelaki Hina" oleh anaknya sendiri (Abdullah bin Abdullah bin Ubay)....


Di dalam perjuangan, terdapat 4 jenis ABU. Pada saya, sama juga dengan perjuangan di zaman ini. Ada yang bersifat seperti Abu Bakar, sanggup hidup dan mati dengan perjuangan walaupun semasa susah mahupun senang. Ada juga yang bersifat seperti Abu Lahab, menentang perjuangan Islam, mengenakan pelbagai masalah dan fitnah kepada pejuang. Malahan ada juga yang bersifat seperti Abu Sufyan, yang pada mulanya menentang, tetapi akhirnya apabila nampak kehebatan dan kemenangan Islam, mula beralih arah dengan bersama-sama di dalam perjuangan.

Namun yang paling teruk adalah yang bersifat seperti Abu Abdullah. Di luar mengaku Islam tetapi di dalam hatinya penuh titik hitam menandakan kemunafiqannya. Penyertaannya ke dalam perjuangan Islam bukanlah ikhlas kerana Allah, tetapi lebih kepada ingin menjahanamkan Islam itu sendiri. Tetapi mereka lupa bahawa Allah sendiri yang akan menjaga agamaNya ini, sepertimana Firman Allah:


"Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci.

Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik benci."

Bersamalah kita renungkan, kita sekarang sebenarnya bersifat dengan sifat ABU yang mana? Yang terhebat, jadilah seperti Abu Bakar. Jika tidak pun, Abu Sufyan pun masih mampu bersama dengan perjuangan. Namun janganlah jadi seperti Abu Lahab, malah elakkanlah yang paling teruk iaitu bersifat dengan sifat Abu Abdullah....


Moga menjadi pedoman semua termasuk diri sendiri...

Wallahu a'lam
.

No comments: