Tuesday, September 8, 2009

Selamat Mencari Al Qadr


Assalamualaikum...

Sedar atau tidak, kita sudah menghampiri sepuluh terakhir Ramadhan...

Bagi yang menyambut dan menanti dengan penuh kegembiraan kedatangan bulan Rahmat ini, sudah pasti mula timbul perasaan sedih di hati mengenangkan perpisahan. Seolah-olah berpisah dengan teman yang paling dicintai. Tidak tahu masih bolehkan bersua di tahun mendatang. Inilah masanya yang perlu dihabiskan dengan penuh kualiti, seolah-olah tiada lagi pertemuan selepas ini, seolah-olah bayangat ajal sudah menunggu di muka pintu!

Bagi yang hanyut di dalam dunia sendiri, Ramadhan datang atau tidak, tidak dihiraukan. Malah ada yang lebih teruk, kedatangan Ramadhan dianggap sebagai menyusahkan dan membebankan!

Bagi yang menyambut Ramadhan dengan penuh khusyuk dan kegembiraan, sudah pasti sepuluh terakhir ini masing-masing akan sibuk. Sangat sibuk. Sibuk mencari satu malam yang tersangat istimewa. Malam yang disebut-sebut di dalam Al Quran sehingga terdapat 1 surah khusus menceritakannya, malam yang di sebut-sebut oleh baginda Rasulullah S.A.W dan para sahabat dan ahli soleh. Sibuk mencari Al Qadr.....


ANUGERAH

Menurut Guru saya, Al Qadr adalah satu ANUGERAH. Hanya yang betul-betul mencari sahaja akan dapat bertemu dengannya. Yang tidak mencari, sudah pasti tidak dapat merasakan kelazatannya. Yang dibuai mimpi sudah pasti tidak dapat merasai keasyikan beribadah di malam itu. Yang mabuk ditelan keasyikan dan keseronokan perasaan menjelang Syawal, sudah pasti tidak dapat merasakan kesyahduan dan keheningan malam antara petanda2 Ramadhan kian berlalu... Hanya yang benar-benar menghargai akan tahu betapa berharga dan bernilainya sesuatu perkara! Mana mungkin seorang kanak-kanak tahu betapa penting dan berharganya sebiji batu permata....

Al Qadr adalah malam ANUGERAH dari Allah kepada HambaNya yang terpilih. Seribu bulan ganjaran sudah tentu dapat menutupi kesusahan berjaga 1 malam. Seribu bulan menutupi seluruh kehidupan!


KEUTAMAANNYA

Al Qadr merupakan malam yang sangat istimewa sehingga is dicoretkan sebagai sebuah Surah dalam Al Quran, di samping beberapa ayat lain yang turut menceritakan pehiral keistimewannya..

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿۳﴾ تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ ﴿٥﴾ [القدر: ١ - ٥]

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. [2] Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? [3] Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. [4] Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. [5] Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. [Al Qadar: 1 - 5]

Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan nan penuh hikmah :

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ ﴿۳﴾ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ﴿٤﴾ أَمْرًا مِنْ عِنْدِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ﴿٥﴾ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦﴾ [الدخان: ۳ - ٦]

Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. [4] Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, [5] (yaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul, [6] sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”[Ad Dukhoon: 3 - 6]

Jelas di sini bahawa keistimewaan Al Qadr tidk dinafikan lagi...



BAGAIMANA MENCARI?

Terdapat banyak pendapat yang membahaskan perihal bilakah terjadinya Lailatul Qadr ini. Ada yang kata 10 malam terakhir, ada yang kata 7 malam terakhir, ada yang kata pada malam ganjil dan macam-macam lagi pendapat.

Saya difahamkan , dari sinilah jua wujudnya 'uruf (adat) masyarakat Melayu yang dipanggil Malam 7 likur. Ketika kecil, saya selalu melihat rumah-rumah di sekitar kampung nenek saya di Terengganu dipasang dengan pelita-pelita di sekeliling rumah, terutama pada 10 malam terakhir. Saya pernah bertanya kepada makcik saya berkenaan hal ini, jawapannya menyebabkan saya akan tersenyum setiap kali mengenangkannya, dari mula saya dengar (lingkungan umur 5 tahun) sehingga sekarang: "Kita pasang lampu sebab masa inilah malaikat turun dari langit membawa rahmat. Kita cerahkan rumah kita dengan lampu supaya malaikat nampak rumah kita dan dapat datang membawa rahmat ke rumah"... Hehe, ayat yang pertama sudah cukup baik tetapi... letak lampu sebab takut malaikat tak nampak rumah kita, maka rahmat tak sampai? Agak-agaknya sekarang ini better SMS alamat rumah kat malaikat supaya malaikat tak sesat? Ataupun supply GPS device? heheh macam-macam kepercayaan orang dahulu...

Saya tidak ingin membicarakan berkenaan bilakah terjadinya malam ini. Bagi saya, ia adalah Rahsia Allah. Allah jualah yang berhak untuk menurunkan pada bila-bila masa. Cuma kita perlu ada persediaan untuk membolehkan kita terpilih menerima kurniaan yang amat hebat ini. Bagaimana persediaannya? Sudah pasti bukan dengan cara memasang pelita di sekitar rumah!


PERSEDIAAN KE ARAHNYA

Kita sudah yakin bahawa Al Qadr adalah ANUGERAH. Apabila ia bersifat anugerah, maka sudah semestinya bukan calang-calang orang yang akan dapat. Sekiranya semua dapat, sudah pasti tidak akan dipanggil anugerah lagi. Persoalannya BAGAIMANA?

Pendapat saya, daripada pemahaman pembelajaran dengan guru-guru saya, Lailatul Qadr ini adalah anugerah kepada yang layak. Iaitu mereka yang memang betul2 mahu mencapainya (iqtiqad di dalam hati sejak mula Ramadhan) dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

1)Apabila kita menginginkan sesuatu kebaikan, sudah pasti kita juga harus memberikan dan menzahirkan kebaikan.

Jagalah ibadah dengan sebaiknya. Membuat ibadah bukan hanya setakat melaksanakan, tetapi melaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Dalam hal ini, guru saya selalu berpesan: Jika ingin berbuat ibadah, buatlah dengan 2 cara:

i)seolah-oleh melaksanakan sesuatu kepada orang yang kita cintai. Kita mahu dia bertambah sayang pada kita, jadi segala perkara yang diminta sudah pasti akan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan dengan usaha untuk mencapai kesempurnaan.

ii) Seolah-olah inilah kali terakhir kita laksanakan ibadah ini. Ibarat belajar sebelum peperiksaan, Saat-saat akhir itulah yang kita laksanakan dengan khusyuk dan bersungguh-sungguh kerana iktiqad hati kita adalah kita takkan dapat belajar dali apabila sudah menghadapi peperiksaan.. Demikian juga kita, di dunia ini adalah untuk persiapan menghadapi "peperiksaan" di sana. Jika lulus maka bergembiralah kita dengan imbuhan yang diterima. Jika gagal, maka menyesallah sehingga bila-bila..


2) Jangan tinggal solat malam sejak hari pertama Ramadhan

Ramadhan hanya datang setahun sekali. Ibarat berjumpa dengan orang yang dikasihi setahun sekali, sudah pasti kita tidak mahu melepaskan walau sesaat pun waktu daripada menghadapinya. Jadi, cubalah sedaya upaya untuk tidak meninggalkan solat malam, bukan sahaj di bulan Ramadhan tetapi di bulan-bulan yang lain juga.

Maha Suci Allah, saya dapat sendiri pengalaman kehebatan solat malam ini. Saya pernah didatangi oleh sepasang suami isteri untuk mengusahakan rawatan terhadap isterinya yang terasa ada benda bergerak di telinga, perut sakit tetapi pakar kesihatan mengatakan normal dan selalu meracau pada waktu malam. Si suami memang seorang yang terkenal dengan kekayaannya di kawasan tempat tinggal saya. Dipendekkan cerita, rupanya si isteri terkena sihir yang dikenakan oleh rakan perniagaan suaminya. Menerusi sesi dialog dengan jin sihir tersebut, asalnya mereka diarahkan untuk menyerang si suami namun mereka mendapati tubuh badan si suami tersebut terlalu "liat", susah untuk masuk. Apabila begitu, tuan mereka mengarahkan mereka menyerang si isteri... Apabila saya berpeluang berbincang secara tertutup dengan suaminya, saya menceritakan apa yang diberitahu oleh jin, ringkas sahaja jawapan suaminya: " Saya ada amalan ilmu kebal ustaz". Apabila dikorek, rupanya "amalan ilmu kebalnya"" adalah sebenarnya amalannya bangun solat malam setiap malam tanpa gagal sejak umur mudanya. Subhanallah! Guru saya Ust Syakirin RIDAM juga pernah menghadapi perkara yang hampir serupa, sepertimana tercatat di blognya.


Solat malam adalah amalan para solihin. Ia merupakan satu kemestian kepada setiap umat Islam. Kerana waktu malam itu adalah waktu terbaik untuk bermunajat, mengadu segala macam perkara yang berlaku pada hari tersebut kepada Yang Maha Mengatur. Jadilah seperti kanak-kanak kecil di hadapan Allah pada waktu malam. Menangislah, merengeklah, mengadulah apa jua hal kepadaNya. Kita adalah hamba yang dhoif dan tiada upaya. Kita mengadu untung nasib kita kepada yang Maha Berkuasa dan Maha Mengatur!


Syeikh Mustafa Masyhur di dalam kitab " Bekalan di Sepanjang Jalan da'wah", ada memberi tip bagaimana utk menolong kita sentiasa Qiamullail:

1. Niat dengan penuh keikhlasan
2. menghadirkan keazaman yang tinggi
3. Memperbaiki taubat
4. Menjauhi maksiat si siang hari
5. Tidur cepat pada malam hari ( tambahan... jangan x sembahyang tarawaih pulak...)
6. Tidur sekejap selepas Zohor ( tambahan... jangan sampai "terbabas" sampai Asar...)
7. Pohon pertolongan dgn Allah




3) Sucikan hati dan jiwa

Jauhkanlah diri dari perkara maksiat. Jauhkan diri dari perkara yang boleh membawa kepada maksiat. Sucikan hati dan jiwa dengan sentiasa membaca Al Quran, mendengar alunan zikir meruntun jiwa dan berdoalah selalu kepadaNya...


Semoga kita semua mampu dan layak dianugerahkan Al Qadr tahun ini. Mungkin tahun terakhir kita berjumpa dengannya sebelum dipanggil pulang menghadap Ilahi........


Wallahu a'lam

.

No comments: