Saturday, June 20, 2009

Doa Rabitah bagi Menyelesaikan Kemelut Pemikiran dan Sikap Ahli Gerakan

Assalamualaikum..

Kemelut pemikiran dan sikap yang tidak henti-henti melanda gerakan sekarang MESTI DITAMATKAN SEGERA. Ia sangat menyesakkan minda, melemahkan jiwa dan melonglaikan gerakerja.

Sesungguhnya ujian di dalam gerakan adalah satu perkara yang membawa beribu hikmah kepada yang mahu mengambil pengajaran. Inilah masanya Allah mahu menapis sesiapa yang Allah rasa tidak lagi layak berada di dalam gerakan. Inilah masanya Allah mahu meninggikan darjat mereka yang tetap sabar dan terus bersama dalam perjuangan. Inilah masanya Allah mahu menguji kekuatan akar dan tunjang ukhuwah yang selama ini dibangga-banggakan oleh ahli gerakan. Inilah masanya Allah mahu menguji sejauh mana kefahaman dan pelaksanaan kefahaman setiap ahli yang mengaku sebagai pejuang, sementelah lagi ahli yang telah melalui proses tarbiyah.

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ


“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”

( Surah Muhammad : 31 )



Allah akan menguji melalui pelbagai cara. Ada dengan kesenangan, ada dengan kesusahan. Ujian kesusahan seringkali mudah disedari dan mudah pula dikembalikan kepada Allah pergantungan dan doa. Namun Ujian Allah ini datang di ketika tidak semua yang sedar. Allah menguji tatkala kita merasa diri kuat, tatkala musuh dan teman mengakui sokongan dan dokongan semakin hari semakin banyak...Semakin hebat kita rasakan diri kita, semakin hebat jugalah Allah akan menguji. Hakikatnya Yang Maha Hebat hanyalah Allah SWT semata-mata.

Saya diperingatkan oleh sahabat saya Ust Ibrahim Ibn Masran Al-Banjari berkenaan peri pentingnya kesatuan di dalam gerakerja, serta betapa terdapat beberapa cara dan doa yang boleh digunakan untuk memohon kepada Allah agar disatukan semula hati-hati ahli gerakan, moga-moga tidak terencatlah tatacara perjalanan perjuangan dengan small hiccup yang melanda ini...


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh serta tipu daya mereka) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

( Surah Al-Anfal : 45 )


Rasulullah SAW menegaskan :

الدعاء سلاح المؤمن

“doa adalah senjata mukmin” (rawahu Abu Ya’la)



Salah satu doa yang boleh diamalkan sebagai suatu usaha kita adalah Doa Rabitah yang terdapat di dalam Al-Ma'thurat.

DOA RABITAH(دعاء الرابطة)

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَى سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.


Terjemahan doa:-

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu bagi memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu. Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan hati-hati ini, tunjukilah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami".

Kaifiyatnya..

· Apabila membaca doa ini dan tatkala menyebut (ANNA HAZIHIL QULUB..) maka hendaklah diniatkan hati-hati pemimpin dan seluruh ahli gerakan Islam.


Semoga Allah menetapkan hati kita di dalam jalan ini, dan moga Allah juga cepat-cepat mengurniakan "ubat" kepada penyakit yang melanda sekarang ini....


No comments: