
Tuesday, June 23, 2009
Dihentikan Sementara

Saturday, June 20, 2009
Doa Rabitah bagi Menyelesaikan Kemelut Pemikiran dan Sikap Ahli Gerakan
Kemelut pemikiran dan sikap yang tidak henti-henti melanda gerakan sekarang MESTI DITAMATKAN SEGERA. Ia sangat menyesakkan minda, melemahkan jiwa dan melonglaikan gerakerja.
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”
( Surah Muhammad : 31 )
Allah akan menguji melalui pelbagai cara. Ada dengan kesenangan, ada dengan kesusahan. Ujian kesusahan seringkali mudah disedari dan mudah pula dikembalikan kepada Allah pergantungan dan doa. Namun Ujian Allah ini datang di ketika tidak semua yang sedar. Allah menguji tatkala kita merasa diri kuat, tatkala musuh dan teman mengakui sokongan dan dokongan semakin hari semakin banyak...Semakin hebat kita rasakan diri kita, semakin hebat jugalah Allah akan menguji. Hakikatnya Yang Maha Hebat hanyalah Allah SWT semata-mata.
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh serta tipu daya mereka) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
( Surah Al-Anfal : 45 )
Rasulullah SAW menegaskan :
الدعاء سلاح المؤمن
“doa adalah senjata mukmin” (rawahu Abu Ya’la)
Salah satu doa yang boleh diamalkan sebagai suatu usaha kita adalah Doa Rabitah yang terdapat di dalam Al-Ma'thurat.
DOA RABITAH(دعاء الرابطة)
اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَى سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.
Terjemahan doa:-
"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu bagi memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu. Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan hati-hati ini, tunjukilah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami".
Kaifiyatnya..
· Apabila membaca doa ini dan tatkala menyebut (ANNA HAZIHIL QULUB..) maka hendaklah diniatkan hati-hati pemimpin dan seluruh ahli gerakan Islam.
Semoga Allah menetapkan hati kita di dalam jalan ini, dan moga Allah juga cepat-cepat mengurniakan "ubat" kepada penyakit yang melanda sekarang ini....
Thursday, June 18, 2009
Rungkaian Sirah:Menghadapi Situasi Semasa (Fitnah dan Perpecahan)

Saya cuma mengambil beberapa insiden yang berurutan dari peristiwa ini untuk dijadikan panduan kita berjuang dan berdepan pula dengan fitnah yang melanda perjuangan kita hari ini .
Asasnya perang Bani Mustaliq ini bukanlah satu peperangan besar dalam sejarah Islam tetapi apa yang paling menyerlah ialah bagaimana ia menunjukkan kepada umum peranan yang di mainkan oleh seorang tokoh munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai dan kuncu - kuncunya yang sebelum itu telah menyimpan dendam politik sekian lama terhadap kepimpinan Rasulullah saw. malah turut mendedahkan beberapa perlakuan jahat yang dilakukan oleh mereka .
Peranan jahat Abdullah bin Ubai kian menjadi - jadi setelah gagalnya harapan beliau untuk menjadi ketua atau pemimpin di Madinah setelah kemenangan Islam dan hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah . Ia menganggap Rasulullah saw telah merampas cita - citanya .
Sejak itu , tertanam di dalam dirinya dendam dan hasad yang senantiasa membara dan mencari setiap kesempatan untuk melakukan sesuatu yang membahayakan Rasulullah saw dan Islam yang dipimpin oleh baginda saw.
Peristiwa Bani Mustaliq ini menyaksikan bagaimana Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya keluar bersama dengan bala tentera ummat Islam tetapi Allah swt mengetahui dan mendedahkan kedudukan dan peranan jahat mereka . Allah swt berfirman :
لو خرجوا فيكم مازادوكم إلا خبالا و لأوضعوا خلالكم يبغونكم الفتنة
و فيكم سماعون لهم و الله عليم بالظالمين
Kalaulah mereka keluar bersama - sama kamu , tidaklah mereka menambah kekuatan kamu melainkan menambah kerosakan dan tentulah mereka melakukan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah [ kekacauan ] dikalangan kamu , sedang ada diantara kamu orang - orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah swt Maha Mengetahui akan orang - orang yang Zalim .
Surah At Taubah : 47
Kerja Jahat Abdullah bin Ubai
Pernah seketika berlaku perselisihan antara 2 orang sahabat nabi saw [ muhajirin dan ansar ] lalu Rasulullah saw menegur mereka berdua : " Apakah kamu mahu kembali kepada jahiliyah sedang aku masih ada bersama kamu ? " akhirnya mereka berdua hentikan pergaduhan dan berdamai .
Malangnya apabila berita perdamaian itu sampai kepada Abdullah bin Ubai lalu dia berkata : " Apakah munasabah dia [ rasul saw ] melakukan demikian . Apabila mereka sudah ramai dalam negeri kita , mereka hendak menunjukkan kekuatan . Samalah seperti kata pepatah , gemukkan anjing kamu kemudian dia akan memakan kamu . Jaga - jaga , kalau pulang ke Madinah ,nanti tahulah dia nanti . Orang yang mulia akan mengeluarkan orang yang hina ! "
Ucapan itu didengari oleh Yazid bin Ikram lalu Yazid beritahu kepada bapa saudaranya dan bapa saudaranya memberitahu Rasulullah saw . akan ucapan Abdullah bin Ubai tersebut . Kebetulan Saidina Umar ada bersama Rasul saw. Lalu Umar rha berkata : " Suruh sahaja Abbad bin Bisyr membunuh dia ! " tetapi ia dihalang oleh nabi saw. bimbang fitnah lebih besar , nanti orang akan kata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri .
Malah anak Abdullah bin Ubai sendiri yang juga bernama Abdullah [ seorang yang beriman dan soleh ] minta izin dari nabi saw untuk membunuh bapanya tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah saw . bagi mengelakkan fitnah yang besar
Abdullah bin Ubai mengetahui ucapannya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah saw lalu ia pergi bertemu dengan Rasulullah saw lalu bersumpah dan menafikan ucapannya .
Tiba - tiba seorang Ansar mengatakan Ya Rasulullah saw . " mungkin budak yang melaporkan berita mengenai ucapan Abdullah bin Ubai ini tersalah lapor ! lalu Rasulullah saw terus mengingatkannya . Maka berduka citalah Zaid bin Arqam [ yang melaporkan ] kerana ia merasakan dirinya telah diperbohongkan .
Tetapi Allah swt Maha Mengetahui lalu menurunkan surah al Munafiqun dan mendedahkan perkara sebenar yang dilakukan oleh golongan munafiq khasnya Abdullah bin Ubai . Akhirnya Rasulullah saw memanggil Zaid bin Arqam dan membacakan surah al Munafiqun kepadanya kemudian nabi saw bersabda : " Sesungguhnya Allah swt telah meletakkan kamu sebagai orang yang benar .
Monday, June 15, 2009
Resah dan Gelisah


Monday, June 8, 2009
Takziah (2)
Takziah kepada Ust Azhar Ketua Lajnah Tarbiah & Kepemimpinan DPPKPG di atas pemergian ibu beliau pada Sabtu lepas. Moga roh almarhumah dicucuri rahmat dan ihsan Allah, di dalam kuburnya dan juga di Hari Kebangkitan. InshaAllah...
Al Fatihah...
Thursday, June 4, 2009
Takziah
Saya baru pulang dari melalui proses yang panjang seharian di Rumah Mayat (Nama glamour sekarang Jabatan Forensik) Hospital Sultan Ismail.
Takziah diucapkan kepada Cikgu Aida (Guru Pasti Taman Mawar) yang kehilangan suaminya secara mengejut akibat serangan jantung pada usia 35 tahun. Sementelah pula Cikgu Aida mengandungkan anak pertama mereka!
Proses menjadi agak panjang kerana suami beliau meninggal mengejut (ketika baru habis kerja syif malam di kilang Niro Granite). Beliau mengadu sakit ketika mahu menghidupkan kereta, dengan badan berpeluh-peluh menandakan serangan jantung.
Masalahnya adalah kematian mengejut beliau kerana sebelum ini beliau ada mengadu pedih ulu hati dan 2 kali berjumpa Doktor untuk rawatan namun disahkan sihat oleh doktor. Oleh itu apabila terjadi kes sebegini, maka Polis ingin membuat siasatan lanjut akan punca kematian.
Post mortem diperlukan, hanya bermula pukul 1130 pagi tadi (Arwah sudah meninggal sejak jam 1230 tengah malam tadi!). Lebih kurang pukul 130 baru start proses mandi dan mengapan. Pukul 245 disembahyangkan dan lebih kurang pukul 3 baru bertolak ke Terengganu. Dijangka sampai ke Terengganu dalam pukul 2 pagi ini.
Sama-sama kita doakan moga Allah selamatkan perjalanan jenazah, baik di dunia mahupun di Akhirat ti Titian Sirat yang halusnya lebih dari rambut dibelah tujuh. Moga ALlah mencucuri rahmat keatasNya.
Kepada yang hidup, sama-sama kita beringat bahawa mati itu boleh datang tanpa disangka-sangka. Sentiasalah berusaha membuat kebaikan, kurangkan musuh dan lebihkan keakraban dengan Allah dan manusia...
Al Fatihah....
Gambar akan menyusul kemudian (menunggu ihsan Saudara Arab yang merupakan satu-satunya orang yang bawak kamera)
Wednesday, June 3, 2009
'Ibrah Peristiwa di Bulan Jamadil Akhir
Terdapat pelbagai peristiwa penting yang berlaku di dalam bulan Jamadil Akhir yang tercatat di dalam lipatan sejarah. Namun saya ingin sekali membawakan 2 peristiwa penting yang boleh diambil 'ibrah bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran...

Peristiwa 1 - Perang Yarmuk (Tahun ke-13 Hijrah)
Perang ini terjadi pada tahun ke 13 Hijrah di kota Yarmuk (Sekarang di Jordan). Walaupun ada yang berpendapat perang ini terjadi pada tahun ke 15 Hijrah di bulan Rejab, namun saya lebih cenderung untuk memilih untuk meyakini bahawa perang ini terjadi pada Bulan JamadilAkhir tahun ke 13 Hijrah.
Perang ini merupakan salah satu perang yang menjadi sebutan sehingga kini. Ketika itu tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid bin Al Walid seramai 30,000 orang menghadapi tentera Rom seramai 100,000 orang.
Akhirnya Alhamdulillah dengan bantuan Allah tentera Islam mencapai kemenangan.
Di dalam perang ini tercatit satu sejarah yang boleh dijadikan pengajaran buat para pendakwah di mana salah seorang panglima Rom bernama George telah memeluk Islam hasil kebijaksanaan Uslub Dakwah Khalid Al Walid. George akhirnya terkorban dan Syahid di dalam peperangan tersebut selepas memeluk Islam. Allahu Akbar.
Peristiwa 2 - Perang Al Jamal (Perang Unta)
Peperangan ini merupakan salah satu peperangan yang melibatkan 2 kumpulan dari Umat Islam sendiri. Berlaku pada 10 Jamadil Akhir tahun ke 36 Hijrah, selepas kewafatan Amirul Mukminin Saidina Uthman Al Affan R.A (dibunuh). Perang ini disebut Perang Unta kerana Saidatina Aishah R.A tidak pernah turun dari unta beliau sepanjang perang ini.
Terdapat pelbagai versi di dalam menceritakan perang ini. Terdapat versi "Pro-Syiah" yang menyalahkan kumpulan yang diketuai oleh Saidatina Aisyah R.A secara total. Namun saya cenderung untuk mengambil pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh ulama2' muktabar Ahlus Sunnah.
erang bermula apabila kumpulan kaum Muslimin diketuai oleh Saidatina Aishah RA (30,000 orang) berangkat ke Basrah bersama pengikut2. Dikatakan pemergian Aishah adalah untuk menuntut supaya kes pembunuhan Saidina Uthman disiasat dengan lebih terperinci. Ada juga yang mengatakan bahawa kumpulan Aishah mahu melucutkan jawatan Amirul Mukminin daripada Saidina 'Ali KW...
Tetapi menurut perbahasan-perbahasan yang dilakukan oleh ulama' muktabar Ahlus Sunnah, pemergian Aisyah adalah semata-mata mahu menyatukan umat Islam yang ketika itu dilanda kekalutan setelah Amirul Mukminin dibunuh.
Al Qadhi Ibn Al-Arabi, dalam membahaskan hal ini berkata:
“Mungkin mereka keluar demi keseluruhan umat Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka kepada undang-undang yang satu (Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan mengakibatkan peperangan. Dan inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.” [al-`Awashim min al-Qawashim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi (diteliti oleh Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]
Dalam pada itu juga, apabila mendengar bahawa kumpulan Saidatina Aishah berangkat ke Basrah, maka kumpulan Sadina Ali KW turut berangkat. Tujuannya adalah untuk bersama-sama dengan kumpulan Aishah untuk menyatukan Umat Islam. Mereka berhenti di Kufah. Namun apabila kumpulan yang melakukan pembunuhan ke atas Saidina Uthman mengetahui akan hal ini, mereka merancang sesuatu untuk menghancurkan kesepaduan Umat Islam.
Kumpulan ini telah melancarkan serangan ke atas kumpulan Saidatina Aishah di tengah malam ketika tidur. Kerana terkejut, kumpulan Saidatina Aishah menyangka Kumpulan Saidina Ali KW yang melancarkan serangan, lantas mereka menyerang kumpulan Saidina Ali. Kumpulan Saidina Ali, dalam pada itu, telah menyangka kumpulan Saidatina Aishah telah mengkhianati mereka lantas menyerang balas.
Terdapat pendapat yang mengatakan hampir 18,000 orang Muslimin terkorban di dalam perang ini.
Hasil dari perang ini, Umat Islam dilabelkan dengan 2 golongan iaitu Ahlus Sunnah (Pro-Aishah / Muawiyah) dan juga Syiah Ali. Apa yang asalnya label 2 golongan disebabkan perbezaan tafsiran pendapat ini, akhirnya menjadi perbezaan ideologi di kalangan umat Islam hari ini.

Ibrah dari 2 Perang ini
1) Kedua-duanya merupakan peperangan besar yang dihadapi oleh pihak Muslimin. Namun salah satu adalah menentang musuh nyata (Kaum Kuffar) dan satu lagi menentang SAHABAT SENDIRI yang disangka musuh
Peperangan menentang musuh yang nyata adalah sangat memuaskan hati. Andai terkorban, InshaAllah akan mati syahid dan mendapat tempat automatik di dalam syurga Allah yang kekal. Setiap keringat dan darah yang mengalir adalah satu kepuasan bagi pejuang sebenar. Masa, wang ringgit dan nyawa yang menjadi taruhan dipersembahkan kepada Allah demi kepentingan agamaNya. Allah berjanji akan 'membeli' harta dan jiwa mukmin yang sanggup membunuh dan terbunuh di JalanNya (At-Taubah, As-Sof)..
Namun peperangan berhdapan saudara sendiri, yang mendokong prinsip yang sama tetapi MUNGKIN hanya kerana sedikit salah faham maka terkorbanlah jiwa-jiwa yang sepatutnya dikorbankan ke arah yang lebih bermanfaat. Bukan setakat mengorbankan jiwa, ia juga mendatang fitnah yang amat besar kepada Islam itu sendiri.
Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak di dalam Perang Al Jamal itu melainkan puak munafiqun yang membunuh Saidina Uthman itu. Kedua-dua pihak Muslimin itu bukanlah calang-calang orang. Terdiri daripada sahabat-sahabat yang terbukti sanggup jatuh dan bangun bersama perjuangan Islam. Namun sayang kerana fitnah dan tipudaya maka terjadi peperangan ini.
Apa kurangnya dengan situasi hari ini. Di masa terdapat musuh-musuh yang nyata di dalam perjuangan, iaitu orang (samada Islam atau tidak) yang tidak mahu malah menghalang pelaksanaan Islam di muka bumi, terdapat segelintir pejuang yang memilih untuk 'berperang' dengan saudara sendiri, yang sama-sama mendokong paksi perjuangan yang sama , namun mungkin kerana sedikit perselisihan atau mengejar jawatan, sanggup musnah memusnah sesama sendiri, sehingga terpalit fitnah yang bukan sedikit kepada Jamaah Islam itu sendiri...
Manakala musuh yang nyata itu, apabila melihat perkara sebegini terjadi, maka ditambah-tambah lagi mereka dengan perisa dan ajinomoto supaya peperangan dan perselisihan di kalangan pejuang ini sedap dan seronok dimamah sebagai santapan mata dan menjadi keuntungan buat mereka. Sehingga menjadi satu ikutan kepada para pendokong sendiri, yang menari mengikut rentak mereka. Hasilnya yang retak menjadi belah, pecah, hancur lebur.
Yang rugi? Tentulah yang berselisihan itu. Kerana Islam tidak akan rugi. Allah tidak akan terjejas oleh mainan pihak-pihak yang 'seronok bermain'. Jangan sampai satu ketika Allah merasa bahawa kita tidak lagi layak menjadi pejuang, lantas diketepikanNya dari pandanganNya dan digantikan dengan kaum lain yang lebih mengasihi dan menyayangi Allah.
Sesungguhnya perjuangan ini suatu nikmat. Ia pemberian Allah yang amat manis dan lazat. Namun jika tidak dijaga dan disuburkan, ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa sahaja! Ingatlah wahai sahabatku, terutama sekali diriku sendiri!!
2) Taqwa adalah pra-syarat utama kemenangan. Utamakan Kualiti bukan Kuantiti
Lihatlah bagaimana kehebatan sahabat di dalam perang Yarmuk menghadapi musuh yang 3 kali ganda jumlah mereka. Tatkala itu, Tentera Rom memang sangat dikenali sebagai tentera yang sangat handal dan mampu mengalahkan sesiapa sahaja. Sementelah lagi berhadapan dengan musuh yang lebih kecil bilangan. Dari segi logik akal, sudah pasti dengan mudah tentera Rom meratah pasukan Tentera Islam.
Persoalan utama yang harus ditanya adalah Kenapa Allah kurniakan bantuan kemenangan kepada Tentera Islam?
Lihatlah peribadi sahabat. Betapa mereka menjaga taqwa di mana sahaja. Solat Malam menjadi semacam kewajipan. Di zaman Salahuddin Al Ayyubi, sesiapa yang tidak bangun solat malam, tidak boleh menyertai peperangan!
Cerminlah pula kita sekarang. Kita claim mahu menjulang Islam. Mahu memperjuangkan Islam. Tapi kenapa Allah masih belum kurniakan kemenangan??
Allah Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh makhlukNya. Allah tahu bila pejuang Islam boleh diberi kemenangan, dan kenapa perlu ditangguh dulu kemenangan.
Sama-sama kita mempertingkatkan taqwa kita kepadaNya. Kerana ia adalah satu-satunya meter pengukur ketinggian darjat kita di sisi Allah. dan InshaAllah ia adalah senjata paling ampuh untuk menegakkan Islam di muka bumi ini!
3) Berhati-hati dengan tipudaya musuh.
As-Syeikh Mustafa Masyhur di dalam kitabnya "Bahtera Penyelamat di dalam Kehidupan Muslim" menggariskan, cabaran pendakwah antaranya adalah "Golongan Mukmin yang Dengki".
Kita disuruh menghadapi musuh dengan segala kekuatan yang ada. Kuda dengan kuda, tangan dengan tangan. Tidak dinafikan musuh akan melakukan apa sahaja tipu daya untuk melemahkan perjuangan. Namun apa yang dibuat oleh para pejuang?
Apabila menyedari telah terpengaruh dengan tipudaya musuh, kita lebih banyak bercakap dari bertindak. DIheboh satu dunia bahawa kita telah ditipu musuh. Musuh jahat, sanggup tipu kita. Tapi kita lupa, dah namanya musuh sudah pasti akan lakukan apa sahaja untuk menjatuhkan dan melemahkan kita....
Persoalannya, apa yang kita telah dan akan buat? Pejuang mungkin boleh mengelak dari jatuh ke lubang yang sama pada kali kedua. Tetapi seringkali kita tertipu dengan lubang-lubang lain yang tidak sama tetapi "hampir sama". Kita seringkali terus complacent dengan title pejuang. Seringkali berharap yang Allah pasti akan tolong kita. Tetapi apa yang kita buat sebagai usaha? Sejauh manakah perancangan dan strategi kita rancangkan dan gerakkan untuk menghadapi tipudaya musuh? Fikir-fikirkanlah....
Banyak lagi ibrah yang boleh didapati dari 2 perang yang terlintas di fikiran saya namun dek kesuntukan masa saya terpaksa prioritize kepada yang penting sahaja dahulu. Moga Allah memelihara kita dari kesesatan dan terus diberikan sinar untuk kita meniti jalan perjuangan ini. InshaAllah.
Yang baik itu datangnya dari Allah, yang tidak baik, salah, buruk dan menjelekkan itu datangnya dari kejahilan dan kedangkalan minda saya yang pendosa dan hina ini...
.
Tuesday, June 2, 2009
DIalog Bersama Non-Muslim

